KUCHING: Sarawak menyambut baik langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan pameran cadangan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan lokasinya bermula esok, 1 September.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perkara itu merupakan perkembangan yang baik dan sememangnya dinantikan-nantikan sekali gus berharap proses pameran berjalan lancar.

“Memang kita mengalu-alukan tindakan SPR untuk mengadakan pameran mengenai 17 kerusi berkenaan. Ini sesuatu yang lama kita tunggu kerana DUN Sarawak telah meluluskan 17 kerusi baharu menerusi proses persempadanan semula (delineation exercise),” katanya.
Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Kurma Gergasi Chef Challenge 2026 di The Hills, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada SPR kerana melaksanakan pameran berkenaan.
“Alhamdulillah, akhirnya SPR mengumumkan untuk mengadakan pameran bermula esok (1 Septembar) dan ini memang sesuatu yang kita alu-alukan. Kita mengucapkan terima kasih kepada SPR,” ujarnya.
Untuk rekod, pada 7 Julai 2025, DUN Sarawak meluluskan cadangan penambahan 17 kerusi berkenaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025.
RUU berkenaan turut menggariskan, kajian persempadanan semula terakhir di Sarawak dilakukan pada 2015, manakala jumlah pengundi di negeri ini meningkat dengan ketara sejak itu.
Cadangan penambahan 17 konstituensi negeri berkenaan dijangka menjadi antara perkembangan signifikan dalam landskap politik Sarawak dengan jumlah keseluruhan kerusi DUN akan meningkat kepada 99 berbanding 82 ketika ini.
Sementara, mengenai program Kurma Gergasi Chef Challenge, beliau memaklumkan, program berkenaan julung kali dianjurkan di Kuching dan merupakan satu inisiatif yang baik bagi mengetengahkan khasiat serta kepelbagaian penggunaan buah kurma.
Menurutnya, buah kurma merupakan bahan yang versatil dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan serta kaedah penyediaan.
“Hari ini (31 Ogos) saya melihat 14 chef yang bertanding dan menggunakan buah kurma gergasi untuk menghasilkan pelbagai jenis masakan termasuk masakan Barat, Thai, Melayu dan Cina.
“Ini merupakan salah satu pertandingan masakan yang begitu unik dan wajar diteruskan pada masa akan datang. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang mengadakan gabungan strategik dan kolaborasi untuk menjayakan program tersebut,” jelasnya.





