KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sabah dan Sarawak sekiranya cadangan penambahan kerusi Parlimen diluluskan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu kenyataan berkata, penambahan kerusi Parlimen itu turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak ditingkatkan berbanding kedudukan semasa.
“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian tersebut pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Menurutnya, perkara itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Beliau membuat kenyataan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.
Jelasnya, pihak SPR mengambil maklum perkembangan berhubung cadangan tersebut dan akan menunggu keputusan rasmi sebelum tindakan lanjut dilaksanakan.
“SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara tersebut dimaklumkan kepada umum,” tambahnya.



