SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan kos sara hidup menerusi Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) yang diperkasa melalui transformasi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, pelaksanaan SRAS Application and Monitoring System merupakan langkah penting bagi memastikan penyampaian bantuan kerajaan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih cekap, tersusun dan telus.
Katanya, SRAS yang diperkenalkan pada 2021 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 merupakan inisiatif memberi sokongan secara langsung kepada rakyat, khususnya mereka yang menyewa rumah atau bilik.

“Pada peringkat awal, bantuan sebanyak RM200 sebulan diberikan sehingga tempoh 36 bulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SRAS Go-Live: Transformasi Digital Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak di Igan Hall, Tanahmas Hotel, di sini, semalam.
Pada 2026, had pendapatan kelayakan SRAS dinaikkan daripada RM4,556 kepada RM5,504, manakala tempoh bantuan dilanjutkan daripada 36 kepada 48 bulan.
“Liputan skim ini juga diperluaskan kepada 10 kawasan di seluruh Sarawak dan sehingga Julai 2026, seramai 7,717 penyewa menerima manfaat SRAS dengan jumlah bantuan keseluruhan RM52.4 juta,” katanya.
Jelasnya, pencapaian itu membuktikan SRAS bukan sekadar skim bantuan di atas kertas, sebaliknya memberi manfaat nyata kepada rakyat yang memerlukan.
Katanya, bantuan berkenaan membolehkan keluarga dan individu yang layak mengurangkan beban bayaran sewaan, sekali gus memberi ruang kewangan untuk keperluan harian.
Abdul Yakub berkata, peningkatan jumlah penerima dan peluasan pelaksanaan skim memerlukan sistem pengurusan lebih bersepadu bagi memastikan setiap proses dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Menerusi SRAS Application and Monitoring System, urusan permohonan, semakan, pengurusan maklumat, pemantauan dan pelaporan dapat dilakukan secara lebih sistematik.
“Nilai sebenar sistem ini bukan sekadar pada teknologi yang digunakan, tetapi sejauh mana teknologi tersebut dapat memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan penyampaian bantuan.
“Rakyat mahukan proses yang jelas, urusan yang mudah serta permohonan mereka dikendalikan dengan cekap dan telus,” katanya.



