NEW DELHI: Sri Lanka merancang untuk membayar import minyak mentah dari Rusia pada masa depan menggunakan mata wang yuan China, menurut akhbar tempatan, Daily Mirror pada Khamis, memetik Menteri Tenaga yang baharu Aruna Karunatilake, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Perbincangan mengenai cadangan itu masih berjalan, kata menteri itu.
“Kami menjangka dapat memuktamadkan perjanjian itu selepas dua lagi pusingan rundingan,” menurut laporan yang memetik kenyataan beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa negara itu mempunyai rizab minyak yang mencukupi sehingga akhir Julai, sambil menegaskan yang memastikan bekalan bahan api dan elektrik tanpa gangguan kekal sebagai keutamaan utama Sri Lanka.
Mac lepas, Timbalan Menteri Tenaga Rusia Roman Marshavin berkata Moscow membincangkan isu keselamatan tenaga serta potensi bekalan tenaga dengan Sri Lanka dan beberapa negara jiran.
Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake turut menyatakan penghargaan kepada Rusia atas kesediaannya untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga.
Langkah ini dibuat susulan gangguan dalam pasaran tenaga global yang dikaitkan dengan ketegangan di laluan penting seperti Selat Hormuz, iaitu koridor utama bagi bekalan minyak dan gas asli cecair dunia. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI



