KUCHING: Sarawak akan menubuhkan Lembaga Bangunan Sarawak (SBB) di bawah Rang Undang-undang Bangunan (Pindaan) 2025 bagi memodenkan serta mengawal selia industri pembinaan negeri.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, lembaga yang merupakan sebuah entiti korporat itu akan menyelaras amalan pembinaan di seluruh Sarawak.
Pada masa sama mempromosikan keseragaman dalam kalangan pihak berkuasa tempatan dan memastikan pematuhan terhadap piawaian kebangsaan dan antarabangsa.
“Dana Lembaga Bangunan Sarawak yang khusus pula akan membiayai penyelidikan, latihan, sistem digital, pembinaan kapasiti, pensijilan profesional dan inisiatif bangunan hijau.
“Sekali gus mengukuhkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan yang selamat moden dan mapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU pada Persidangan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini hari ini.
Tambahnya, SBB akan menjadi pusat dalam mengawal selia amalan bangunan hijau dan standard profesional memastikan persekitaran binaan selamat cekap dan selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030) untuk bandar pintar dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah bahawa, RUU tersebut turut memperkukuh pengawasan terhadap arkitek jurutera dan pemeriksa bertauliah.
Katanya, kerangka pendaftaran dan tatatertib bagi meningkatkan akauntabiliti serta keselamatan awam akan diperkenalkan.
“Pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk menawarkan kompaun bagi kesalahan bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan Jadual Pertama telah dikemas kini untuk memasukkan semua majlis semasa termasuk Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Kota Samarahan serta Majlis Daerah Gedong, Siburan dan Sebuyau yang baharu ditubuhkan,” katanya.
Melihat kepada perkembangan pesat sektor pembinaan Sarawak, Dr Sim mendedahkan nilai kerja yang disiapkan di negeri ini mencecah RM4.9 bilion (10.7 peratus) pada suku ketiga 2025.
Tambahnya, kerangka kawal selia SBB akan membantu mempercepatkan penerimaan amalan bangunan hijau mempromosikan kecekapan tenaga dan memastikan pembangunan mapan untuk generasi akan datang.

