KUCHING: Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1) dan tiga jambatan pesisir di Sarawak bukanlah projek yang sama serta tidak mempunyai tujuan pembangunan yang serupa, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya, SSLR1 memberi tumpuan kepada pembangunan koridor jalan strategik yang menghubungkan Sarawak dan Sabah serta membuka akses ke kawasan pedalaman di bahagian utara Sarawak.
Manakala, Jambatan Batang Lupar, Batang Igan dan Batang Rambungan yang terletak di sepanjang kawasan pesisir barat hingga tengah Sarawak, merupakan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di kawasan pesisir dengan memendekkan masa perjalanan, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
“Kedua-dua inisiatif tersebut sebenarnya saling melengkapi antara satu sama yang lain dan tidak wajar dilihat sebagai projek yang bersaing atau boleh menggantikan fungsi masing-masing.
“Menggunakan istilah ‘menggantikan’ projek jambatan dengan SSLR1 adalah tidak tepat sama sekali kerana kedua-dua projek ini menyasarkan lokaliti dan keperluan pembangunan yang berbeza dan perlu difahami dalam konteks yang tepat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, Alexander berkata Jambatan Batang Lupar, Batang Igan dan Batang Rambungan diluluskan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-10 sebelum pelaksanaannya ditangguhkan dan kemudiannya dibatalkan susulan perubahan dasar serta penilaian semula projek oleh Kerajaan Persekutuan ketika itu.
Beliau menambah, dalam tempoh yang sama, projek SSLR1 diperkenalkan sebagai salah satu projek strategik Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan hubungan darat di antara Sarawak dengan Sabah tanpa melalui Brunei serta membuka potensi pembangunan kawasan pedalaman.
Sementara itu, beliau berkata turut mengambil maklum pandangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa keperluan pembangunan kawasan pesisir dan pembangunan jaringan jalan strategik pedalaman adalah sama penting demi memastikan pembangunan Sarawak yang seimbang dan inklusif.
Katanya pandangan tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan infrastruktur memberi manfaat kepada seluruh rakyat mengikut keperluan setiap kawasan.
Pada masa sama, Alexander berkata Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) yang dipersetujui melalui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) juga merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak yang lebih menyeluruh dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan perhubungan strategik, pembukaan akses ke kawasan pedalaman serta merangsang pembangunan pertumbuhan ekonomi wilayah.
“Pembangunan ketiga-tiga jambatan melengkapkan agenda tersebut.
“Kementerian Kerja Raya menghargai usaha Kerajaan Sarawak yang mengambil inisiatif meneruskan pembinaan jambatan-jambatan tersebut menggunakan pembiayaan negeri demi memastikan keperluan rakyat terus dipenuhi,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam mengenal pasti keutamaan pembangunan infrastruktur negeri, termasuk mempertimbangkan cadangan-cadangan baharu yang dikemukakan melalui saluran rasmi perancangan pembangunan negara, tertakluk kepada pertimbangan agensi pusat dan kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Matlamat kita sama, iaitu memastikan rakyat Sarawak menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik, jaringan perhubungan yang lebih menyeluruh serta peluang pembangunan ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.





