ARTIKEL

FOKUS… Fazzrudin Abdul Rahman.

STA dapat kelulusan bersyarat AFC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyokong Kuching City FC (KCFC) perlu membiasakan diri dengan sistem tempat duduk bernombor di Stadium Taha Ariffin (STA) susulan pemasangan keseluruhan kerusi penonton yang menyediakan kapasiti 17,584 tempat duduk.

Pengerusi Eksekutif KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perubahan daripada konsep tempat duduk bebas kepada sistem bernombor penting bagi memenuhi keperluan penganjuran perlawanan di peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

LAWATAN… Fazzrudin ketika mengadakan lawatan ke Stadium Taha Ariffin, di sini, semalam.

Katanya, perlawanan persahabatan menentang Sabah FC malam ini menjadi platform untuk membiasakan penyokong dengan sistem berkenaan sebelum STA digunakan bagi perlawanan antarabangsa.

Menurut Fazzrudin, penambahbaikan STA merupakan sebahagian daripada usaha memenuhi keperluan penganjuran perlawanan antarabangsa selepas pemeriksaan AFC dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 September lalu memberikan kelulusan bersyarat bagi saingan Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup dan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2).

Beliau berkata, dua keperluan utama yang masih diberi perhatian ialah sistem lampu dan bilik siaran, dengan kerja pemasangan lampu kini mencapai 90 peratus dan dijangka dapat digunakan sebelum 7 Oktober.

Usaha menaik taraf STA mendapat sokongan Kerajaan Sarawak, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta SSC, dengan sebahagian peruntukan RM7 juta digunakan bagi kerja penambahbaikan termasuk bilik persalinan, bilik pengadil, bilik pegawai perlawanan, surau, tandas dan pencahayaan.

LAWATAN… Fazzrudin ketika mengadakan lawatan ke Stadium Taha Ariffin, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Fazzrudin berkata, aspek pengurusan penjaja di sekitar stadium turut diberi perhatian bagi memastikan keseluruhan ekosistem pada hari perlawanan lebih teratur, selain memenuhi syarat keselamatan dan keselesaan yang ditetapkan.

Katanya, semua penambahbaikan bukan sekadar memenuhi kriteria badan bola sepak antarabangsa, malah bertujuan memberikan pengalaman lebih selesa dan selamat kepada penyokong, terutama apabila STA menjadi venue perlawanan membabitkan pasukan dari Korea, Hong Kong, Singapura dan Kemboja.

“Kita juga mengharapkan kerjasama daripada penonton untuk sama-sama menjaga kebersihan dan keselesaan stadium demi kebaikan bersama,” katanya.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU