KUCHING: Penyenaraian Stadium Larkin sebagai venue alternatif Kuching City FC bukan bermakna pasukan itu akan beraksi di Johor bagi keseluruhan kempen ACL2, sebaliknya merupakan langkah perancangan sekiranya berlaku perubahan pada jadual atau tempoh kerja naik taraf Stadium Taha Ariffin.
Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan berkata, Stadium Larkin hanya disenaraikan sebagai gelanggang alternatif bagi memenuhi keperluan pertandingan sekiranya Stadium Taha Ariffin masih belum mendapat kelulusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tarikh ditetapkan.
Menurutnya, kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin sedang giat dilaksanakan bagi memenuhi kriteria dan piawaian ditetapkan AFC, dengan sasaran kerja siap pada pertengahan September ini.
“Setiap pasukan yang bertanding perlu mempunyai stadium alternatif. Ketika AFC datang membuat pemeriksaan awal, stadium kita belum memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.
“Dalam masa yang sama, kita sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian untuk memenuhi kriteria tersebut. Jadi kita perlu mempunyai pilihan lain sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Iswandi berkata, pihaknya pada awalnya turut berdepan kekangan untuk menyediakan stadium alternatif di Sarawak berikutan Stadium Sarawak juga sedang menjalani kerja pembaikan.
“Kita tidak ada stadium lain kerana Stadium Sarawak pun sedang dibaiki. Jadi kita memohon kepada pihak JDT untuk menggunakan Stadium Larkin sebagai stadium alternatif,” katanya.
Beliau berkata, permohonan kepada pihak Johor telah dibuat secara rasmi selepas mendapatkan persetujuan secara lisan, namun Stadium Larkin sendiri masih melalui proses persediaan dan pemeriksaan AFC.
Menurut Iswandi, pihaknya bagaimanapun yakin dapat beraksi di Stadium Taha Ariffin bagi perlawanan di laman sendiri, khususnya selepas jadual pertandingan menunjukkan aksi pertama pasukan adalah di tempat lawan.
“Kita sasarkan stadium siap pertengahan September. Jadi, insya-Allah, rasanya tiada masalah untuk kita bermain di stadium sendiri.
“AFC dijangka datang semula untuk membuat pemeriksaan sekitar awal Oktober sebelum kelulusan diberikan,” katanya.
Beliau berkata, kerja penambahbaikan turut melibatkan beberapa kemudahan lain termasuk penambahan tempat duduk, manakala keperluan papan iklan boleh diselesaikan menggunakan papan iklan mudah alih atau A-board.
“Kerja ini dilakukan secara berperingkat dan melibatkan kos yang besar. Kelab sendiri turut menanggung kos berkenaan,” katanya.
Iswandi menegaskan hasrat utama The Cats adalah memastikan semua perlawanan ‘home’ ACL2 2026/2027 dapat berlangsung di Kuching di hadapan penyokong sendiri.
“Kita faham keinginan penyokong untuk menyaksikan detik bersejarah ini di bumi sendiri. Itu juga impian dan keutamaan kita.
“Sebagai kelab yang membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas Asia, kita mahu pengalaman ini dikongsi bersama penyokong di rumah sendiri,” katanya.
KCFC dijadualkan beraksi di laman sendiri pada 15 Oktober 2026, dan Iswandi berharap penyokong kekal tenang serta terus memberikan sokongan kepada pasukan sementara proses penambahbaikan stadium diselesaikan.



