ARTIKEL

Stadium Nasional Bukit Jalil sudah 90 peratus bersedia untuk final Piala Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada Jumaat ini meskipun ketika ini dihujani kritikan dan pertikaian mengenai mutu permukaan padang susulan gambar yang tular di media sosial.

Perkembangan tersebut disahkan sumber dalaman Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan terutamanya di bahagian padang giat dijalankan sejak kira-kira dua minggu lepas sebagai persediaan menjelang final itu.

Menurut sumber, PSM bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan beberapa pihak lain mengadakan pemeriksaan terhadap permukaan padang untuk melihat tahap ketersediaannya pada Rabu.

“Ketika ini semua sudah bersedia, cuma hari ini tinggal touch up dan buat garisan, esok pasang tiang gol. Gambar yang tular adalah waktu kerja-kerja sedang berjalan.

“Kami akan pastikan permukaan padang yang elok untuk final Piala Malaysia dan kami berikan yang terbaik untuk pastikan keadaan padang berada pada tahap optimum,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata tiada sebarang perbincangan untuk memindahkan venue perlawanan akhir Piala Malaysia sejak isu padang mula tular sebelum ini.

Isnin lepas, permukaan padang Stadium Nasional sekali lagi tular dan menjadi perhatian selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu yang kelihatan sedikit terjejas menerusi laman media sosial milik baginda.

Ia merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu, Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan padang Stadium Nasional, yang pertama selepas dua hari konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan, 22 Nov lepas.

Sebagai rekod, Tunku Ismail mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di Stadium Nasional yang mula ditanam tahun ini.

Final Piala Malaysia 2023 mempertemukan juara tiga kali yang juga juara bertahan JDT dan Terengganu FC yang memburu kejuaraan kedua selepas kali terakhir memenanginya pada 2001.– BERNAMA

BERITA LAIN

Jadual Padat Lima Kejohanan Uji Kuching City

KUCHING: Jadual padat membabitkan lima kejohanan serentak menjadi antara cabaran terbesar Kuching City FC musim ini apabila tempoh pemulihan yang singkat memaksa The Cats melakukan

BERITA TERBARU

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan