SRI AMAN: Stadium Negeri, Petra Jaya dipilih sebagai pentas perlawanan akhir Liga Premier Sarawak 2025/2026 yang menyaksikan pertembungan dua pasukan terbilang, Samarahan dan Bintulu.
Pengerusi Kejohanan, Haji Sophie Shariee berkata, pihaknya baharu sahaja memuktamadkan perkara berkenaan.
Menurutnya, keputusan menetapkan gelanggang perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada 15 Februari itu telah dimaklumkan kepada kedua-dua pasukan terbabit.
“Stadium Negeri akan menjadi gelanggang perlawanan akhir antara Samarahan dan Bintulu pada tarikh tersebut,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, aksi final kedua-dua pasukan akan bermula pada pukul 3.00 petang.
Dua wakil zon berbeza itu berjaya mara ke final selepas menumpaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir sebelum ini.
Samarahan menumpaskan jiran tetangga mereka, Serian, 1-0, manakala Bintulu mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Kuching.



