KUCHING: Stadium Taha Ariffin sedia untuk digunakan bagi penganjuran sukan bola sepak peringkat antarabangsa.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, stadium tersebut sudah memenuhi prasyarat yang ditetapkan bagi penganjuran kejohanan seumpamanya.
“Dua hari lepas, saya berkesempatan untuk melihat stadium dari atas menggunakan helikopter dan banyak perubahan sudah dilakukan termasuk kerusi yang sudah ditukar.
“Sekarang, stadium tersebut sudah ada kerusi berbanding sebelumnya, yang hanya menggunakan simen untuk duduk.
“Pengunjung juga akan menikmati perubahan dari segi tandas yang ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Stadium Taha Ariffin akan digunakan buat kali pertamanya pada 1 Oktober 2026 selepas kerja penaiktarafan selesai menerusi perlawanan KCFC menentang Sabah FC.
Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar penyokong di Sarawak hadir untuk menyaksikan perlawanan Kuching City FC pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Abdul Karim menekankan bahawa fokus utama buat masa ini ialah menambah baik fasiliti sukan yang akan digunakan semasa sukan SEA 2027.



