ARTIKEL

Statistik Kemalangan 2025 Dedah Kecuaian Pemandu Punca Utama Nyawa Melayang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kecuaian pemandu dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan statistik kemalangan jalan raya di Sarawak bagi tahun 2025 dengan beberapa kategori insiden merekodkan angka membimbangkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kemalangan akibat pelanggaran dari arah belakang mendominasi statistik dengan 33.3 peratus.

Ini diikuti oleh faktor memandu laju dan terbabas sebanyak 21.9 peratus serta pelanggaran sisi ketika keluar masuk simpang yang mencatatkan 21 peratus.

“Sementara itu, kemalangan bertembung dari arah hadapan hanya mencatatkan 0.1 peratus walaupun risiko kematian dalam insiden berkenaan tetap tinggi,” katanya kepada pemberita pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan JPJ Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral, hari ini.

Hasbi menjelaskan selain faktor kecuaian manusia, pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya turut menyumbang kepada trend peningkatan kadar kemalangan.

Faktor-faktor lain menurut beliau merangkumi keadaan cuaca buruk, kualiti permukaan jalan raya yang tidak sekata serta bentuk muka bumi yang mencabar.

“Pemandu diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya termasuk pemakaian tali pinggang keledar, mengelakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu serta mengekalkan had kelajuan selamat,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru penumpang agar berperanan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

Tambah beliau, orang ramai boleh menyalurkan rakaman atau gambar pemandu cuai melalui platform e-aduan, WhatsApp atau portal dalam talian JPJ Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Statistik ini bukan sekadar angka sebaliknya ia menggambarkan risiko sebenar yang dihadapi setiap pengguna jalan raya. Kesedaran dan tindakan proaktif daripada pemandu serta penumpang adalah amat penting bagi mengurangkan kadar kemalangan,” jelas beliau.

Hasbi berharap langkah penguatkuasaan yang lebih tegas dan kerjasama padu daripada semua pengguna jalan raya mampu menurunkan statistik kemalangan pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU