KUCHING: Status lima individu yang berada di dalam helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDU) yang terhempas di STOLport Long Lellang, Marudi, petang tadi masih belum dapat disahkan sehingga pasukan siasatan menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebarang pengesahan berhubung keadaan mangsa perlu dibuat oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Menurutnya, kenyataan yang mendakwa kesemua mangsa disahkan meninggal dunia sebelum ini bukan datang daripada pihak berautoriti.
“Pengesahan masih belum dapat dibuat sehingga pasukan siasatan menyiasat di tempat kejadian. Kenyataan mangsa disahkan meninggal dunia bukanlah daripada pihak yang berautoriti,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang tular di media sosial dan memaklumkan kesemua lima individu di dalam helikopter terbabit disahkan meninggal dunia.
Mohamad Zainal berkata, keadaan helikopter yang dilaporkan hancur dan terbakar tidak boleh dijadikan asas untuk mengesahkan keadaan mangsa tanpa pemeriksaan rasmi di lokasi kejadian.
Beliau turut menjelaskan kejadian itu dikategorikan sebagai kemalangan dan bukan bencana, justeru sebarang pengesahan berkaitan mangsa perlu dibuat oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab.



