BEIJING, CHINA: Sarawak melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Royal Brunei Airlines (RBA) mengukuhkan hubungan dengan China melalui laluan penerbangan Beijing-Bandar Seri Begawan-Kuching, sekali gus membuka peluang pembangunan pakej pelancongan kolaboratif.
Pengarah Pemasaran STB (Asia Utara dan Pasaran Baharu), Dylan Redas Noel berkata, laluan penerbangan tersebut yang diketengahkan menerusi Seminar Rangkaian Perniagaan Sarawak adalah penting sebagai sambungan dua destinasi untuk meningkatkan akses perjalanan antara China dan Sarawak.

“Inisiatif ini juga menandakan kerjasama pertama antara STB dengan pasukan RBA di China yang menekankan sinergi antara kerjasama syarikat penerbangan dan pemasaran destinasi dalam mempromosikan Sarawak di pasaran China.
“Bagi menggalakkan penyertaan, RBA menaja tiket pulang ke Kuching bagi pemenang cabutan bertuah, memberi mereka peluang menikmati hospitaliti Sarawak secara langsung,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada RBA atas peranan penting mereka dalam memulihkan akses ke Sarawak kerana kerjasama tersebut lebih daripada sekadar kemudahan perjalanan, sebaliknya ia menjadi jambatan antara budaya, rakyat dan aspirasi bersama.
Mengulas lanjut, katanya seminar yang bermula di Beijing dan diperluaskan ke Taiyuan, iaitu sebuah hab utama di Wilayah Shanxi dari 28 hingga 30 Oktober lalu, adalah sejajar dengan menjelangnya Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memperluas jangkauan melalui kerjasama strategik dan pelibatan antarabangsa.
“Misi ini lebih daripada sekadar seminar kerana ia merupakan penyambungan semula dan membuka peluang STB untuk mencapai khalayak baharu di utara China.
“Langkah ini membuahkan hasil positif termasuk memperkukuh perkongsian perdagangan dan meningkatkan kesedaran terhadap produk pelancongan Sarawak, sekali gus menekankan komitmen STB untuk memperkukuh kehadiran serta kerjasama dalam pasaran China.
“China kekal sebagai pasaran utama bagi kami dan dengan Beijing serta Taiyuan sebagai pintu masuk penting, kami sedang membina semula hubungan kukuh dan berpanjangan bersama rakan kongsi,” tegasnya.
Menurutnya, seminar yang dirancang sebagai platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) itu menghimpunkan pengusaha pelancongan Sarawak, ejen pelancongan China, rakan syarikat penerbangan dan wakil media bagi memperkukuh hubungan industri serta mencipta peluang kerjasama baharu.
“Para peserta juga berpeluang bertukar idea, membangunkan potensi pakej perjalanan dan meneroka tawaran unik Sarawak berdasarkan lima teras pelancongan iaitu budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival.
“Ia turut menampilkan pembentangan oleh STB dan RBA diikuti sesi memperkenalkan itinerari baharu oleh pengusaha Sarawak serta perbincangan produktif dengan rakan kongsi China,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa STB turut mengadakan kunjungan hormat ke C-Trip, Qunar dan Pejabat Malaysia Airlines Beijing bagi memperkukuh hubungan dengan platform pelancongan dalam talian utama serta rakan penerbangan untuk meningkatkan keterlihatan Sarawak dalam kalangan pengguna China.



