ARTIKEL

Abang Jimmy berucap pada perasmian Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak (Powering Knowledge: STEM On Wheels) di Dewan Suarah Bintulu pada Selasa.

STEM landasan bina masa depan generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kejayaan tokoh teknologi dunia seperti Elon Musk dan Steve Jobs membuktikan penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mampu menjadi pemangkin kepada inovasi yang mengubah dunia, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG (MLNG), Abang Jimmy Abang Mordian.

Beliau berkata, generasi muda perlu melihat STEM bukan sekadar bidang akademik, sebaliknya sebagai landasan untuk membina masa depan, mencipta peluang baharu dan merealisasikan impian mereka dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.

Abang Jimmy menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi.

Menurutnya, perkembangan pesat teknologi global menuntut generasi muda dilengkapi ilmu serta kemahiran STEM agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dan menjadi peneraju inovasi pada masa hadapan.

“Melalui ilmu STEM, kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami teknologi, malah berupaya mencipta penyelesaian baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Siapa tahu, mungkin dalam kalangan pelajar yang hadir hari ini akan lahir jurutera, saintis atau inovator yang mencipta teknologi baharu, menyumbang kepada kemajuan negara dan berkhidmat dalam industri strategik seperti PETRONAS suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak (Powering Knowledge: STEM On Wheels) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

Abang Jimmy berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MLNG dalam memperkasakan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Bintulu.

Katanya, program itu turut berperanan membuka minda pelajar bahawa STEM merupakan bidang yang menarik, praktikal dan menawarkan prospek kerjaya yang luas pada masa hadapan.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu itu bermula pada Mei lalu dengan penyertaan 38 guru dan 240 pelajar daripada tiga sekolah menengah di daerah ini.

Selain memberi pendedahan kepada pelajar, katanya, program tersebut turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti guru menerusi bengkel Training of Trainers (TOT) bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menyampaikan pembelajaran STEM secara lebih berkesan.

“Guru memainkan peranan penting dalam mencetuskan minat pelajar terhadap STEM kerana mereka merupakan penggerak utama dalam membimbing generasi muda meneroka bidang berasaskan sains dan teknologi,” katanya.

Sepanjang program itu, pelajar diberi peluang meneroka konsep Fizik, Matematik, Kimia dan Kejuruteraan menerusi pelbagai aktiviti pembelajaran secara praktikal dan interaktif.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Bucket Swing Challenge yang menguji kreativiti pelajar dalam mereka bentuk dan membina jambatan serta Battleship yang mengaplikasikan kemahiran Matematik secara interaktif.

Menurut Abang Jimmy lagi, pendekatan pembelajaran sedemikian bukan sahaja meningkatkan pemahaman pelajar terhadap STEM, malah membantu membentuk kemahiran pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah.

“Pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan. Melalui kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan komuniti, kita mampu mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.

Beliau menegaskan MLNG komited untuk terus menyokong pembangunan pendidikan di Sarawak menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti, khususnya dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, PPD Bintulu serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU