BINTULU: Stesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Belaga di Skim Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap akan terus dikekalkan dan diperkasakan menerusi model operasi yang lebih efektif serta mampan bagi memastikan perkhidmatan kepada hampir 2,000 pekebun kecil sawit di kawasan itu terus terjamin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, perkara itu antara cadangan utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Kuching, semalam (Rabu).

Menurut beliau, cadangan berkenaan menerima maklum balas positif daripada Noraini serta Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd, termasuk persetujuan agar kehadiran dan perkhidmatan MPOB di Sungai Asap terus dikekalkan melalui pendekatan operasi yang lebih berkesan.
“Antara cadangan yang dikemukakan ialah penstrukturan semula Stesen MPOB Belaga dengan memberi penekanan kepada khidmat TUNAS, nasihat dan bimbingan teknikal, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pelesenan, latihan, penggunaan teknologi, mekanisasi, pendigitalan serta pembangunan pekebun kecil,” katanya satu kenyataan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh stesen berkenaan tidak semestinya memerlukan pengekalan model operasi sedia ada yang melibatkan kos tinggi, sebaliknya boleh dilaksanakan melalui pengoptimuman aset dan sumber yang tersedia.
Menurutnya, pasukan TUNAS MPOB dicadangkan mempunyai kehadiran tetap di Sungai Asap, manakala kepakaran teknikal lain boleh disalurkan secara berkala menerusi pasukan teknikal bergerak.
Chukpai berkata, Belaga mempunyai hampir 2,000 pekebun kecil sawit yang mengusahakan kira-kira 10,000 hektar tanaman sawit, sekali gus memerlukan perkhidmatan agensi berkaitan berada lebih dekat dengan komuniti pekebun.
Dalam masa yang sama, Chukpai berkata Stesen MPOB Belaga di Sungai Asap berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan pertanian yang sedang dibangunkan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ekosistem itu merangkumi Stesen Pertanian Sungai Asap, pembangunan jalan pertanian, pelaksanaan Smart Farming, pembangunan agropreneur dan koperasi serta transformasi digital menerusi inisiatif Sungai Asap Digital Village (SADV).
“Matlamat akhirnya ialah membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat dan memastikan pembangunan industri sawit turut meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan pekebun kecil,” katanya.

