KUCHING: Stiker Lesen Kenderaan Memandu (LKM) mahupun dokumen Lesen Memandu Malaysia (LMM) masih boleh digunakan, walaupun kerajaan menumpukan kepada peralihan pendigitalan.
Justeru, Pengarah Pengangkutan Jalan Sarawak, Norizan Jili berkata orang ramai masih boleh mendapatkan LKM dan LMM di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“JPJ tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk menyekat orang ramai bagi mendapatkan stiker LKM mahupun dokumen LMM kerana peralihan pendigitalisasi ini, malah orang ramai masih boleh mendapatkan dokumen (LKM & LMM) berkenaan di pejabat JPJ yang berdekatan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi satu kenyataan, hari ini sebagai maklum balas kepada laporan berita berhubung isu penggunaan stiker LKM dan dokumen LMM khususnya melibatkan kenderaan dari Miri untuk memasuki Brunei.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Brunei Darussalam agar mengiktiraf cukai jalan digital, yang kini diguna pakai kenderaan di Malaysia.
Ia susulan negara berkenaan tidak menerima kemasukan kenderaan khususnya dari Miri, yang menggunakan cukai jalan digital.
“Apabila kenderaan dari Miri yang memandu merentasi sempadan Brunei, ia tidak dibenarkan masuk walaupun menunjukkan cukai jalan digital kerana pihak berkuasa Brunei ingin melihat cukai jalan fizikal.
“Susulan itu, perbincangan terperinci akan diadakan dengan kerajaan Brunei mengenai isu itu supaya mereka mengiktiraf cukai jalan digital Malaysia,” katanya.


