SARIKEI: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mendesak kerajaan agar mengekalkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan menerusi program BUDI95 khusus kepada guru di Sarawak bagi meringankan beban kos perjalanan yang semakin meningkat.
Presidennya, Kullin Djayang berkata, desakan itu dibuat mengambil kira pelbagai tanggungjawab guru di luar bilik darjah yang memerlukan penggunaan kenderaan persendirian secara kerap.
Menurutnya, guru bukan sahaja menjalankan tugas mengajar, malah aktif mengiringi dan menghantar pelajar ke pelbagai aktiviti kokurikulum, sukan serta pertandingan di luar sekolah.
“Ramai guru terpaksa berulang-alik setiap hari dari rumah ke sekolah kerana jarak kediaman yang jauh, terutama apabila sekolah tidak mempunyai kuarters mencukupi untuk menempatkan semua guru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan penggunaan bahan api dalam kalangan guru meningkat secara signifikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Sehubungan itu katanya, STU mewakili suara guru di Sarawak berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengekalkan subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan sebagai satu bentuk sokongan kepada warga pendidik.
Dalam pada itu, Kullin turut memaklumkan masih banyak sekolah di Sarawak tidak mempunyai kenderaan rasmi untuk kegunaan sekolah, sekali gus memaksa guru menggunakan kenderaan sendiri bagi menghantar pelajar ke program tertentu.
“Dalam pelbagai keadaan termasuk kecemasan, guru terpaksa menggunakan kenderaan peribadi untuk mengangkut pelajar,” ujarnya.
Beliau menegaskan kerajaan perlu mengambil kira beban kos yang ditanggung guru di Sarawak dan terus mengekalkan subsidi berkenaan demi memastikan kebajikan guru terus terpelihara serta peranan mereka dalam pembangunan pendidikan negara dapat diperkasakan.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan STU Bahagian Sarikei pada Sabtu.

