ARTIKEL

F: Kullin Djayang

STU sambut baik usaha kerajaan perkukuh standard pendidikan negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menerima secara positif usaha kerajaan untuk memperkukuh standard pendidikan negara termasuk penambahbaikan sistem penilaian dan peperiksaan yang diperkenalkan.

Presidennya, Kullin Djayang berkata dasar pendidikan nasional jelas meletakkan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan serta medium pengajaran utama di sekolah, termasuk penekanan kefasihan murid bukan penutur jati.

Menurutnya, dalam pelaksanaan pengajaran dalam bahasa Melayu, kajian menunjukkan guru di sekolah jenis kebangsaan contohnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berdepan cabaran dan tekanan untuk menyeimbangkan penguasaan bahasa kebangsaan tanpa menjejaskan pembelajaran murid bukan penutur jati serta memerlukan sokongan khusus daripada pihak berkaitan.

“STU melihat usaha memantapkan bahasa Melayu sebagai satu langkah positif, namun menegaskan keberkesanannya perlu disokong melalui latihan guru yang berterusan, penyediaan sumber pengajaran berkesan serta pendekatan sensitif keperluan murid bukan penutur jati agar mereka tidak ketinggalan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menambah STU turut menerima perubahan dalam landskap pendidikan negara secara terbuka.

“Sebagai kesatuan guru yang majoritinya menyokong pengembalian peperiksaan, kami juga mengalu-alukan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat yang dilaksanakan bermula tahun ini.

“Kami juga berharap keputusan ujian tersebut tidak dijadikan asas untuk perbandingan antara sekolah atau pelajar sehingga menjurus kepada sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu kekurangan guru di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan dasar pendidikan yang menekankan pembelajaran pelbagai bahasa lain seperti Cina dan Tamil.

“Kami melihat mata pelajaran tersebut boleh ditawarkan sekiranya terdapat permintaan daripada murid atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta disokong dengan ketersediaan guru yang mencukupi,” jelasnya.

Beliau memberitahu, bagi memastikan peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan memberi impak optimum. STU menekankan beberapa keutamaan mendesak termasuk penambahbaikan infrastruktur sekolah luar bandar dan pedalaman yang berstatuskan sekolah daif.

“Keperluan asas seperti bekalan elektrik, air bersih, ruang bilik darjah yang mencukupi serta capaian Internet yang stabil menjadi faktor penting bagi menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya lagi.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan kebajikan guru juga perlu diberi perhatian serius termasuk penyediaan kemudahan fizikal kuarters, elaun khas serta bantuan data Internet khususnya bagi guru yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 semalam memaklumkan bahawa semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, pendekatan tersebut diyakini dapat meleraikan kontroversi berkaitan isu bahasa Melayu, selain menamatkan perbahasan berhubung syarat kemasukan ke universiti awam selepas ini.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

MBKS bandar pelancongan bersih ASEAN

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard bagi tempoh 2026 hingga 2028, sekali gus mengekalkan pencapaian itu untuk kali

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan