BETONG: Polis Betong mengesan video tular yang membabitkan dua lelaki saling mengacukan parang di Bandar Baharu Betong, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Wan Mohamad Ali Wan Malek, pihaknya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Sehubungan itu, kita sedang mengesan untuk menangkap kedua-dua individu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kira-kira jam 2 petang, polis mengesan rakaman video tular menunjukkan dua lelaki masing-masing memegang parang dan saling mengacukan parang di pasar Betong.
“Dalam video itu, dua lelaki terbabit iaitu seorang berbaju hitam berdiri di atas keretanya, sementara seorang lagi memakai topi keledar.
“Lelaki bertopi keledar itu berhasrat berjumpa isterinya bagi membincangkan masalah rumah tangga mereka. Si isteri mahu menuntut cerai kerana suaminya didakwa beberapa kali curang dengan perempuan lain.
“Apabila menyaksikan isterinya keluar dari kereta milik lelaki berbaju hitam tadi, si suami berang sehingga mencetuskan pertengkaran mulut dan masing-masing mengambil parang.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” ujarnya.
Menjelaskan lanjut, lelaki berbaju hitam itu telah tampil ke Balai Polis Betong untuk membuat laporan polis bagi menuntut ganti rugi kerosakan keretanya yang dicalarkan parang.
“Namun, lelaki berkenaan mengubah fikiran dan enggan membuat laporan polis. Beliau memberitahu akan pulang berbincang secara baik dengan lelaki bertopi keledar yang merupakan jiran serumah panjang dengannya itu dahulu,” katanya.



