ARTIKEL

Gambar hiasan

Suami dijel 12 bulan kerana tumbuk isteri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang suami dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana menumbuk isterinya hingga menyebabkan cedera lebam, gara-gara menyangka isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Mohd Kamarul Hisyam Safiee, 34, tidak bekerja, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan menumbuk badan hingga menyebabkan kecederaan lebam.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Pasir Pandak, di sini, sekitar jam 8.30 malam, 31 Oktober 2023.

Ling Hui Chuan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu berada di rumah mentuanya bertengkar mulut dengan tertuduh kerana menyangka pengadu menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Tertuduh kemudian bertindak memukul dan menumbuk pengadu menggunakan tangan sehingga menyebabkan tangan kanan dan lengan pengadu lebam.

Pengadu kemudian menerima rawatan di hospital dan doktor mengesahkan terdapat kesan lebam di lengan kiri dan beberapa kesan lebam di tempat lain akibat kejadian tersebut.

Bimbang akan keselamatan diri, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 14 Julai lepas.

Semasa tangkapan, saringan air kencing tertuduh juga didapati positif dadah jenis syabu.

Difahamkan, pengadu dan tertuduh telah berkahwin selama lapan tahun dan mempunyai dua orang anak. Sepanjang perkahwinan tertuduh tidak pernah bekerja dan hanya mengharapkan isterinya mencari nafkah keluarga.

Mangsa terpaksa menyara suami, dua orang anak dan ibu mentuanya.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah memiliki harta curi iaitu empat unit televisyen jenama Panasonic.

Dia bersama seorang lagi rakan sejenayahnya didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, kerana memiliki harta curi barang-barang terbabit milik sebuah syarikat menjual barangan elektrik dan elektronik.

Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Setia Raja, sekitar jam 6.40 pagi, 30 Jun lepas.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU