ARTIKEL

Suami dipenjara cederakan isteri gara-gara cemburu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Angkara cemburu, seorang suami sanggup mencederakan isterinya dengan menumbuk bahu dan muka mangsa kerana menyangka mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Lelaki tidak bekerja itu juga turut mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh mangsa supaya mereka dapat mati bersama dalam satu kejadian bertengkar di kediaman mereka di Jalan Sekama, Sabtu lalu (9 Disember).

Namun demikian, perbuatan itu membawa padah apabila Sebastian Freddy Tan, 32, dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan di hadapan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyan 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 31 tahun.

Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kata-kata jenayah hendak membunuh mangsa yang sama.

Kesalahan terbabit dilakukannya dalam rumah sewa atas kedai di Jalan Sekama, kira-kira jam 5.45 pagi, 9 Disember lalu.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua Sebastian dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, berlaku pertengkaran antara mereka kerana tertuduh cemburu apabila melihat mesej pengadu (isteri) dengan lelaki lain dalam aplikasi Whatsapp.

Susulan itu, tertuduh tergamak menumbuk isterinya sambil mengeluarkan kata-kata berbunyi ‘Ada kau aku bunuh kelak biar sama-sama mati’.

Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan lebam di muka dan bahu kiri.

Bimbang akan keselamatan diri dan kejadian seperti itu sering berlaku, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.

Hasil siasatan, tertuduh didapati telah mencederakan pengadu dan mengeluarkan ugutan bunuh selain ujian saringan air kencing tertuduh juga positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU