KUCHING: Sepasang suami isteri yang ketagih seksual dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, kerana melakukan serangan seks berkumpulan terhadap anak saudara perempuan dan merakam video aksi tidak senonoh mereka.
Tertuduh pertama merupakan bapa saudara mangsa berusia 45 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun sembilan bulan.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017, serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Kesemua Seksyen yang dikenakan dibacakan bersama Seksyen 16(1) SOACA 2017 (Akta 792).
Iris tidak menawarkan sebarang jaminan dan memerintahkan tertuduh dilanjutkan reman sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes tertuduh pada 6 Oktober depan.
Sementara itu, tertuduh kedua merupakan ibu saudara berusia 42 tahun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Dia didakwa melakukan serangan seksual dengan memasukkan alat permainan seks ke dalam kemaluan dan memberikan minuman mengandungi empat biji pil tidur terhadap mangsa yang sama.
Ketiga-tiga pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 14(1) SOACA 2017, Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 328 Kanun Keseksaan.
Seksyen 14(1) SOACA 2017 dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, masing-masing dibacakan bersama Seksyen 16(1) SOACA 2017.
Musli menetapkan tarikh pengurusan kes pada 28 September depan, selain memerintahkan tertuduh dilanjutkan reman sehingga kes selesai.
Dalam pada itu, pasangan terbabit turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat bersama mengeluarkan bahan seksual dengan merakam aktiviti seksual menggunakan sebuah telefon pintar terhadap mangsa yang sama.
Pendakwaan mengikut Seksyen 5 SOACA 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hakim Mursyida Abdul Halim menetapkan tarikh pengurusan kes kedua-dua tertuduh pada 6 Oktober depan.
Kesemua kesalahan terbabit dilakukan mereka di dalam sebuah rumah di Batu Kawa, pada Mei 2025.
Difahamkan, ibu mangsa membuat laporan polis pada 18 Ogos lalu, selepas bapa saudara mangsa menghantar gambar dan video bogel mangsa kepada ibu mangsa yang dipercayai berlaku pada Mei 2025.
Tertuduh menghantar gambar tersebut selepas berlaku perselisihan faham di antara mereka.
Difahamkan juga, semasa kejadian, mangsa datang ke rumah kedua-dua tertuduh untuk melepak bersama-sama sepupunya.
Ketika di rumah tersebut, tertuduh kedua (isteri) memberikan air kepada mangsa yang mengandungi empat biji pil tidur, supaya mangsa khayal dan lemah untuk melawan sebelum merogol dan merakam aksi jijik mereka.
Difahamkan juga, isteri mempunyai masalah hiperseksualiti yang membawa kepada dia mengajak suaminya berbuat demikian terhadap mangsa.
Kedua-dua tertuduh berjaya ditangkap pihak polis pada 22 Ogos lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng.

