KLUANG: Pasangan suami isteri maut manakala dua anak perempuan mereka cedera parah dalam kemalangan kereta dan lori di Jalan Batu Pahat-Mersing.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan berlaku kira-kira 5 petang membabitkan lori dari arah Kluang dan kereta Hyundai Matrix dari arah bertentangan.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki 54 tahun itu hilang kawalan akibat jalan licin sebelum melanggar lori berkenaan.
Pemandu kereta dan isterinya berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anak perempuan mereka kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Jusoh Mohd Salleh berkata dua mangsa maut dikenali sebagai Mislan Osman dan Nor Azilah A Rahman dikeluarkan menggunakan peralatan khas seperti dilapor Bernama.



