KUCHING: Suami maut manakala isteri cedera selepas kenderaan Perodua Axia dinaiki mereka terbabas dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kulas di sini, tengah hari semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, mangsa lelaki warga negara asing berusia 70-an itu meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Kenderaan mangsa dari arah Jambatan Tun Abdul Rahman Ya’kub menuju ke lampu isyarat Satok dipercayai hilang kawalan.
“Kenderaan mangsa kemudian terbabas lalu melanggar tiang lampu serta pokok di tengah pembahagi jalan,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Farhan, mangsa telah dihantar oleh pihak ambulans ke Unit Kecemasan HUS dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 1.43 petang.
Sementara itu, katanya, isteri mangsa yang juga warga negara asing berumur dalam lingkungan 70-an mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di HUS.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kami menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Shazwina Alfera, di talian 016-7433078/082-259900 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu, terutamanya semasa musim hujan, serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya.

