Suami pukul isteri curang

LIMBANG: Bengang akan isterinya yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang lelaki bertindak memukul isterinya menggunakan kipas dan telefon bimbit di sebuah rumah sewa di Jalan Sibukang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Limbang Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.10 malam itu, mangsa, 35, mengalami benjol di dahi, lebam di tangan dan sakit di bahagian kepala.

Menurutnya, apabila mangsa tiba di rumah, suaminya menyindir dengan berpura-pura bercakap dengan anaknya sambil menasihati agar jangan mengikut perangai mangsa yang dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Pertengkaran berlaku dan suspek memukul mangsa menggunakan telefon bimbit dan kipas angin,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Abang Zainal berkata, selepas dipukul, wanita terbabit bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan sekitar jam 11.34 malam.

Susulan laporan itu katanya, suspek yang berusia 58 tahun ditahan anggota Siasatan Jenayah IPD Limbang sekitar jam 12.30 tengah malam.

Polis turut merampas satu unit kipas meja yang dipercayai diguna untuk memukul mangsa. Suspek ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.