KUCHING: Seorang suami dayus akhirnya menerima padah apabila dia dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menumbuk muka isterinya gara-gara meminta balik wang berjumlah RM150 yang pernah diberikan kepada mangsa untuk perbelanjaan anak, tetapi tidak dipulangkan sepenuhnya.
Berdasarkan fakta kes, pada 4 Januari lalu, sekitar jam 3.45 pagi, mangsa berusia 24 tahun pulang ke rumah keluarga suaminya di Kampung Semeba selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa anak mereka demam.
Setiba mangsa di rumah mentuanya, tertuduh Barry Guillen, 28, terus membuka pintu kereta lalu menumbuk dahi sebelah kanan mangsa dan meminta balik wang berjumlah RM150 yang pernah diberikan kepada pengadu untuk perbelanjaan anak.
Mangsa menyerah baki wang tersebut sebanyak RM80 kepada tertuduh yang terus berang kerana wang itu tidak dipulangkan semuanya.
Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian bibir dan dahi lalu membawa diri ke hospital untuk rawatan lanjut.
Laporan polis turut dilakukan untuk tindakan dan siasatan lanjut, seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 5 Januari lepas.
Hasil siasatan mendapatui tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal telah mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan menumbuknya.
Laporan perubatan mangsa turut memaklumkan tentang kecederaan tisu pada bibir dan dahi mangsa.
Semasa sebutan kes hari ini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.




