KUCHING: Kata-kata; “tidak takut masuk penjara” seorang suami semasa mengugut hendak membunuh isterinya akhirnya menjadi kenyataan, apabila dia dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, 32, bekerja sebagai jurulatih gim mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh isterinya yang berusia 34 tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di pekarangan Mahkamah Syariah, di sini, sekitar 10 pagi, 8 Oktober lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengamuk dan bertindak agresif semasa bertengkar mulut dengan isterinya.
Tertuduh mengugut pengadu dengan mengeluarkan kata-kata;
“aku bunuh kau, janjiku puas hati aku sik duliku masuk penjara”.
Selain itu, dia juga menyatakan dia tidak takut masuk penjara hingga menyebabkan pengadu ketakutan dan trauma.
Punca kejadian, tertuduh tidak berpuas hati apabila pengadu nekad ingin bercerai dengannya kerana tertuduh masih terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Bimbang akan keselamatan diri, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tertuduh berjaya ditangkap pada hari yang sama kejadian, sekitar 10.05 malam.
Hasil siasatan, mendedahkan tertuduh merupakan suami sah pengadu telah mendatangkan ketakutan dan trauma kepadanya dengan mengamuk dan ugut bunuh.
Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

