KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengembalikan kepercayaan rakyat susulan pendedahan media mengenai penjualan maklumat keselamatan taktikal negara kepada pihak luar antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu dibangkitkan Datuk Khlir Mohd Nor (PN–Ketereh) kepada Menteri Pertahanan bagi mengetahui langkah-langkah damage control yang telah diambil kementerian dalam menangani isu berkenaan.
V. Ganabatirau (PH–Klang) pula meminta Menteri Pertahanan menyatakan program yang dilaksanakan di bawah kementerian itu bagi menjamin kebajikan serta meningkatkan kemahiran pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk jumlah anggota yang telah mendapat manfaat daripada usaha tersebut.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN–Indera Mahkota) bertanyakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai program mengenal pasti bakat atau talent hunting dalam pelbagai bidang sukan berprestasi tinggi dari peringkat sekolah rendah serta status sokongan ibu bapa dan sekolah terhadap pembangunan bakat kanak-kanak sehingga menjadi atlet profesional.
Usai sesi soal jawab lisan, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi hari ketiga pada peringkat dasar.
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan peringkat dasar akan berlangsung selama lapan hari bermula Isnin hingga 28 Okt ini, manakala perbahasan peringkat jawatankuasa dijadual diadakan dari 5 hingga 27 Nov.
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lepas mengangkat tema “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” dengan memperuntukkan sebanyak RM419.2 bilion. Daripada jumlah itu, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM81 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan.—BERNAMA



