ARTIKEL

Suara pemimpin Sarawak tidak boleh didiamkan — Pemuda PBB

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kenyataan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang menggesa peletakan jawatan Setiausaha Agung PBB, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi disifatkan sebagai cubaan untuk menghalang serta memperlekehkan suara pemimpin Sarawak yang sedang memperjuangkan hak-hak negeri ini.

Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan sikap tidak menghormati usaha pemimpin Sarawak dalam mempertahankan kepentingan negeri.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Abdul Aziz yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk mendiamkan suara pemimpin Sarawak yang memperjuangkan hak negeri ini.

“Sedangkan kenyataan Nanta sebenarnya mencerminkan kekecewaan dan kebimbangan rakyat Sarawak terhadap keadaan semasa apabila hak-hak negeri ini semakin dicabar oleh pihak tertentu di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemuda PBB turut mengecam tindakan beberapa organisasi media yang didakwa menyembunyikan afiliasi politik Abdul Aziz dengan memetik beliau sebagai pakar undang-undang perlembagaan dalam laporan yang menggesa peletakan jawatan Nanta.

“Tindakan tersebut merupakan satu bentuk penipuan dan ketidakjujuran kerana kenyataan beliau bersifat politik sepenuhnya dan tidak berlandaskan sebarang hujah perlembagaan atau undang-undang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Pemuda PBB turut mempertikaikan hujah Abdul Aziz yang menyatakan Nanta terikat dengan tanggungjawab Kabinet dan perlu menyimpan pandangan sedemikian untuk diri sendiri.

Tambah kenyataan itu, serangan terhadap Sarawak semakin meningkat sejak beberapa bulan apabila semakin ramai pihak mempersoalkan hak negeri ini dan kenyataan Abdul Aziz dilihat sebagai contoh jelas punca kepada kekecewaan tersebut.

Sehubungan itu, Pemuda PBB menggesa semua pihak yang mempertikaikan hak Sarawak supaya terlebih dahulu mengkaji tuntutan negeri ini terhadap sumbernya sebelum membuat sebarang kesimpulan.

‘Semua tuntutan, perjuangan dan kebimbangan negeri ini adalah berasaskan prinsip undang-undang, fakta serta berpaksikan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.

Pemuda PBB akan terus berdiri teguh dalam solidariti dan kesatuan bersama Nanta serta Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mempertahankan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 serta Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Terdahulu, kenyataan Nanta dalam satu temu bual bersama sebuah stesen radio menggunakan perkataan bercerai ketika menyentuh isu berkaitan suasana politik negara.

Ahli Parlimen Kapit itu kemudian menjelaskan istilah cerai itu dalam perbincangan mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia bukan modal politik, sebaliknya seruan untuk menghentikan pergaduhan antara Semenanjung dan negeri itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU