KUCHING: Etika, ketepatan fakta dan kebolehan membuat penyelidikan menjadi aspek utama yang diketengahkan dalam Bengkel Inovasi Media Suara Sarawak agar laporan pilihan raya yang dihasilkan tepat, seimbang serta berintegriti.
Bengkel yang dihadiri lebih 43 peserta terdiri daripada wartawan, editor dan wartawan digital itu memberi pendedahan tentang penulisan berita serta analisis pilihan raya sebagai persediaan memperkukuh liputan media.


Sesi perkongsian selama sekitar enam jam dari 8 pagi hingga 3 petang itu dikendalikan oleh penganalisis politik merangkap perunding media, Dr G. Manimaran.
Beliau menyentuh pelbagai aspek penting termasuk peranan wartawan dalam liputan pilihan raya, kod etika, akta berkaitan pilihan raya, sejarah ringkas PRN Sarawak serta isu dan dasar yang dijangka menjadi perhatian sepanjang kempen.
Menurutnya, wartawan perlu mempunyai kebolehsuaian, memperkukuh kemahiran penyelidikan serta mengamalkan pengesahan maklumat bagi memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat dan berwibawa.
“Jangan hanya mendapatkan pandangan daripada calon semata-mata, sebaliknya temui pengundi dan masyarakat setempat untuk memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh tentang sesuatu isu,” katanya semasa menyampaikan perkongsian pada bengkel itu, di sini, hari ini.






