MIRI: Suara Sarawak sekali lagi melakar sejarah dengan merangkul sebanyak 27 anugerah dari semua kategori yang dipertandingkan sempena Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2023 di sini malam tadi.
Daripada 27 anugerah tersebut, sebanyak sembilan emas, lapan perak, dan 10 gangsa berjaya dimenangi.
Wartawan Suara Sarawak dari Seksyen Iban atau Ruai iaitu Indun Silong pada kali ini merupakan penyumbang terbesar dalam kejayaan tersebut apabila berjaya membolot sebanyak empat anugerah sekaligus.
Beliau berjaya memenangi dua emas, satu perak dan satu gangsa pada KJA 2023.
Dalam pada itu, Seksyen Iban atau Ruai turut menyapu bersih semua kategori yang dipertandingkan dengan penyertaan daripada kesemua wartawan seksyen tersebut yang terdiri daripada Indun Silong, Lina Kunjak, Isabella Inchang dan Sylvester Riang.
Selain daripada memenangi anugerah dalam kalangan wartawan, jurufoto Suara Sarawak iaitu Mohd Aliff Noni turut menyumbang kepada kemenangan besar ini.
Beliau telah berjaya memenangi anugerah perak menerusi karyanya yang bertajuk ‘Simulasi Kapal Terbang Terbakar’, dan anugerah gangsa daripada karya yang bertajuk ‘Sinar Harapan Baharu’.
KJA 2023 pada tahun ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM250,000, dan mempertandingkan sebanyak 11 kategori termasuk Anugerah Premier Sarawak.
Antara kategori yang dipertandingkan adalah Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Ekonomi Digital, Anugerah Kewartawanan Penyiaran, Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Laporan Kelestarian, Anugerah Laporan Ekonomi dan Perniagaan, Anugerah Kewartawanan Foto, dan Anugerah Esei Foto
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin hadir bagi mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk merasmikan majlis sekali gus menyampaikan anugerah terunggul sempena KJA 2023 iaitu Anugerah Premier Sarawak.









