JULAU: Kerajaan digesa menilai semula mekanisme subsidi minyak bagi memastikan keperluan penduduk luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman yang berdepan jarak perjalanan jauh dan kos pengangkutan tinggi, mendapat perhatian sewajarnya.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata kuota subsidi 200 liter diesel dan petrol sebulan dilihat tidak mencukupi bagi penduduk di kawasan pedalaman yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan barangan keperluan serta menjalankan aktiviti ekonomi harian.
Menurutnya, perkara itu antara isu yang dibangkitkan ketika Program Bersama Rakyat di Rumah Julin dan Rumah Laman, Julau, baru-baru ini.
Katanya, keluasan kawasan Parlimen Julau serta keadaan geografinya yang berbeza berbanding kawasan bandar menyebabkan penduduk luar bandar terpaksa melakukan perjalanan lebih jauh untuk urusan harian.
“Kekadang rakyat kita menempuh perjalanan ulang alik beratus kilometer dalam sehari menggunakan kereta, sama ada turun ke bandar atau pergi ke kebun jika dibandingkan dengan rakyat di bandar yang jarak dengan tempat kerja dan pusat membeli-belah dekat sahaja,” katanya.
Beliau berkata, penduduk di kawasan pedalaman ada kalanya perlu melakukan perjalanan lebih 100 kilometer hanya untuk mendapatkan barangan keperluan atau menjalankan aktiviti ekonomi, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api.
“Dalam sebulan sahaja, subsidi minyak 200 liter tidak mencukupi digunakan rakyat yang tinggal di rumah panjang, kawasan pedalaman.
“Oleh itu, saya berharap agar kerajaan menilai semula mekanisme subsidi ini bagi mengurangkan beban penduduk di kawasan pedalaman,” katanya lagi.
Larry berkata, penggunaan kenderaan seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan kenderaan pikap lain pula bukan semata-mata untuk kegunaan persendirian, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi penduduk luar bandar.
Katanya, kenderaan berkenaan digunakan untuk melalui jalan yang mencabar, selain membawa hasil pertanian dari kampung untuk dijual di kawasan bandar serta mendapatkan barangan keperluan harian.
Beliau turut membangkitkan isu syarat subsidi yang dikaitkan dengan nama pemilik kenderaan berdaftar kerana keadaan itu boleh menimbulkan kesukaran kepada keluarga di rumah panjang.
Menurutnya, terdapat keadaan kenderaan dibeli dan didaftarkan atas nama anak yang bekerja, tetapi digunakan oleh ibu bapa yang tinggal di rumah panjang.
“Subsidi itu juga terpaksa menggunakan nama anak yang didaftarkan sebagai pembeli kenderaan walaupun anak mereka membelikan kereta tersebut untuk kegunaan ibu bapa,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Larry berharap kerajaan dapat meneliti mekanisme yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan realiti kehidupan penduduk luar bandar supaya dasar subsidi tidak menambah beban kepada komuniti yang sememangnya berdepan kos perjalanan lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan bandar.
“Pada pendapat saya, perkara berkaitan polisi subsidi minyak ini patut mengambil kira kegunaan rakyat di pedalaman,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, perkara itu amat relevan bagi Parlimen Julau yang mempunyai kawasan pedalaman luas serta banyak penempatan yang terletak jauh dari pusat bandar.
Larry berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel dengan mengambil kira faktor geografi, jarak perjalanan dan corak kehidupan komuniti luar bandar supaya manfaat subsidi minyak benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukannya.

