Sudah lama kami tidak bekerja

KUCHING: Bantuan kewangan sebanyak RM600 kepada pengendali van penumpang, bas, van sekolah dan pemandu teksi yang berdaftar merupakan bantuan yang amat ditunggu-tunggu oleh Sering Tungkat, 62.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah berkata, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, pendapatannya terjejas.

“Pada mulanya, pelajar sekolah hanya bercuti selama seminggu, tetapi disambung sehingga sekarang.

“Pendapatan saya dibayar oleh ibu bapa pelajar. Jadi, apabila tiada pelajar dihantar ke sekolah saya tiada pendapatan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana pekerjaannya sebagai pemandu bas turut mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.

 

“Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada kami sebagai pemandu bas.

“Kami juga memerlukan bantuan kerana sudah lama tidak bekerja.

“Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan ada memberi bantuan kepada pemandu e-hailing, tetapi tidak termasuk pemandu bas, teksi dan van penumpang,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM600 kepada 959 pengendali van penumpang, 1,976 pemandu teksi dan 739 pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di negeri ini.