Sugar Baby, Sugar Boy dan jerat lumayan

HABUANNYA lumayan. Sekurang-kurangnya RM400 sekali dating… yang masanya hanya beberapa jam.”

Itu pengakuan eksklusif seorang gadis yang “dijaga” oleh Sugar Daddy.

Katanya, biarpun tua, namun Sugar Daddynya itu berduit dan tidak mudah marah.

“Tugas saya adalah untuk membahagiakannya. Membelai dan melayan kemahuannya. Dan ini termasuk berakhir di ranjang,” katanya lagi.

Justeru itu katanya, dia tidak kesal untuk bekerja sebagai pembantu kedai yang gajinya tidak seberapa, kerana “keperluan lainnya” sentiasa dipenuhi.

Cerita ini sebenarnya sudah berlaku lebih 15 tahun lalu. Gadis ini berjiran dengan pejabat saya, dan kelibatnya diambil dan dihantar kereta mewah oleh “daddy” itu tidak pula secara bersembunyi.

Katanya, dia tidak menyesal kerana ia lebih baik berbanding berpasangan dengan lelaki muda, yang hanya mahukan “seks”.

Ya, dia belum berkahwin ketika itu.

“Menemani daddy, kami tidak perlu terlalu beremosi. Kalau ada rezeki, dan kebetulan dia lelaki yang sesuai… kahwinlah. Asalkan dia selalu menabur hadiah dan hidup tidak sukar,” tambahnya lagi yang hanya berkelulusan tingkatan lima ketika itu.

“S” hanya tersenyum apabila diusik. Katanya, dia tahu perbuatannya salah, namun ia kemewahan yang sukar ditolak.

Daddynya bukan sahaja sering memberikan hadiah, malah membawanya terbang ke ibu kota, malah ke luar negara.

Dan apabila “bertugas” di kejauhan itu, habuannya lebih hebat. “Rasa seperti tuan puteri,” katanya lagi tanpa segan silu.

Kisah “S” dan daddynya yang berusia 50-an ketika itu kembali segar, setelah isu Sugarbook meletup sejak minggu lalu.

Ya, Sugar Baby, Sugar Daddy dan Sugar Mummy bukan perkara baharu.

Ia sudah menapak lama dalam masyarakat kita.

Tidak perlu aplikasi khas sebenarnya, kerana sebelum ini, memang wujud kelompok yang menjadi penghubung kepada urusan ini.

Ya, ada permintaan maka ada penawaran. Kata, “S”, ia duit mudah baginya.

Dan dia ada enam tujuh Sugar Daddy yang sentiasa menagih kasih.

Usah dibilang yang merayu untuk mengahwini. Sugar Daddy wujud di mana-mana.

Bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh Malaysia.

Adalah “rahsia terbuka” bahawa ada kalangan penuntut pusat pengajian tinggi tempatan yang meraih pendapatan menerusi aktiviti ini.

Pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook, Darren Chan membuktikan bahawa 14,000 penuntut IPT tempatan menjual diri sebagai Sugar Baby bukan satu kejutan.

Jumlah sebenarnya dipercayai jauh lebih besar dan ada di semua universiti.

Dan realitinya, ia bukan sekadar gadis mahupun wanita. Bahkan ada penuntut lelaki yang turut laku keras.

Baik yang menawar diri untuk disantap sesama jantina, ataupun yang digilai mak cik-mak cik, atau lebih kelas disebut mak datin.

Beberapa tahun lalu, penulis pernah bertemu penuntut lelaki dari negeri ini yang sanggup menangguhkan pengajiannya di Semenanjung, semata-mata mahu hidup sebagai Sugar Boy, yang dijaga Sugar Mummy.

“Seronok bang. Kita hanya melayan kesepian mereka, dan mereka akan hamburkan segala-galanya.

“Ada yang berselindung dengan perwatakan yang baik… namun mereka inilah yang kuat cemburu.

“Masing-masing mahu memiliki dan ditemani. Dan waktu inilah mereka sanggup tawarkan apa sahaja,” katanya lagi.

Badan tegap dan muka kacak menjadi modal untuk tujuan itu. Bagaimana Sugar Baby meraikan daddynya, setiap kali berlaku pertemuan?

Menurut Sugar Baby yang diwawancara seorang blogger di Singapura, dia hanya pendamping dan penghibur.

“Saya layan mereka dengan manja dan matang kerana mereka ada duit tetapi sepi. Katanya, tugas tersebut membawanya menjamu selera di restoran lima bintang, berpakaian mewah, malah melancong ke China, Amerika dan Kanada.

“Saya menemani mereka berborak. Mereka ambil foto saya sedang berenang.

Menonton bersama. “Kalau saya berasa tidak selesa dengannya, saya akan berterus terang.

“Kalau saya selesa dan berminat, ya mungkin sehingga ke ranjang. Kalau saya rasa tidak berminat, saya akan tolak dengan baik,” akuinya lagi. Namun katanya, yang pasti semua Sugar Daddy inginkan pengakhiran dengan seks. Ia antara beberapa penemuan yang didedahkannya secara terbuka dalam youtube.

Tidak semua individu laris sebagai Sugar Baby. Namun wajah cantik, badan menarik serta kulit mulus antara tarikan utama yang boleh menaikkan harga, katanya lagi.

Justeru tidak hairanlah ada kalangan model, peragawati, malah penyanyi dan pelakon menjadi buruan para Sugar Daddy ini.

Mereka yang terlibat dalam aktiviti ini boleh memberikan apa sahaja alasan lain, namun yang pasti, mereka menjadi sugar kerana duit.

Mereka berbuat demikian mungkin kerana mahu dilihat mewah, mahu mencari wang lebih atau mungkin ada yang terdesak untuk kelangsungan hidup, termasuk untuk meneruskan pengajian.

Bagi Sugar Daddy dan mummy, mereka dahagakan layanan dan belaian.

Mungkin juga rindukan kasih sayang dan mahu sentiasa berasa muda. Justeru ketika ini terbitlah penawaran dan permintaan.

Biarpun Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan Sugarbook, ia bukan jaminan kisah Sugar Baby akan berakhir. Masih banyak di luar sana aplikasi dan laman sesawang yang mempromosikan “halaman cinta” serupa, dengan pelbagai jenama dan nama.

Justeru itu, strategi baharu perlu dicipta untuk menanganinya, dan ia harus bermula dari rumah, bukan daripada kerajaan semata-mata.