KUCHING: Pasukan Setiausaha Kerajaan Sarawak (SUK) mengungguli Kejohanan Pickleball Pekat 2026 selepas menewaskan SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) pada aksi final berpasukan di Pikabol Malaysia, Jalan Pending, di sini, Ahad.
Kejayaan itu membolehkan SUK membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala SKJV selaku naib juara menerima RM2,000 dan pingat.

Sarawak Energy Berhad (SEB) HQ pula menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Pejabat ADUN N3 Tanjong Datu, sekali gus meraih RM1,000 dan pingat.
Pengarah Pekat Energy Sarawak, Azlina Zulkipli berkata, edisi sulung kejohanan itu menerima sambutan di luar jangkaan apabila menghimpunkan lebih 150 peserta daripada 28 pasukan.

“Sebanyak 28 pasukan mengambil bahagian dengan setiap pasukan terdiri daripada enam hingga lapan pemain.
“Sambutan edisi pertama ini amat menggalakkan dan sebenarnya di luar jangkaan kami.

Justeru, kami berharap dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Kejohanan Pickleball Pekat 2026.
Menurut Azlina, antara agensi dan organisasi yang mengambil bahagian ialah Sarawak Energy, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) serta SABATI, selain beberapa agensi dan pihak berkepentingan lain.

Kejohanan anjuran Pekat Group Berhad bersama anak-anak syarikat dan syarikat bersekutunya itu turut mempertandingkan kategori beregu VIP lelaki dan beregu VIP wanita.
Bagi beregu VIP lelaki, pasangan Ir. Muhammad Randie Abdullah-Rizal Ahmad dari SEB meraih kejuaraan selepas menewaskan wakil Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Datuk Abang Arabi Abang Narudin-Muammar Quaddafi, 21-16 pada final.
Pasangan SUK, Azmi Yusuf-Nazarie Kushairy pula meraih tempat ketiga selepas mencatat kemenangan 21-11 dalam aksi penentuan.
Kategori beregu VIP wanita menyaksikan wakil SABATI, Datuk Enn Ong Siok Ean-Datin Lily Wong muncul juara selepas menewaskan pasangan MAKSAK, Afifah Fatin Abu Bakar-Dayang Zuriati Izzrinda Abang Julaihi, 21-15.
Satu lagi pasangan SABATI, Baduyah Bujang-Zetty Farazieta Zakaria meraih tempat ketiga menerusi kemenangan 21-13.
Juara kategori VIP masing-masing menerima wang tunai RM1,000 berserta plak, manakala naib juara memperoleh RM600 dan plak serta tempat ketiga RM400 dan plak.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.



