Sukan boleh eratkan silaturahim kakitangan agensi kerajaan

BINTULU: Kalah atau menang adat pertandingan, yang penting semangat kesukanan, setiakawan dan muafakat yang dipamerkan setiap peserta, kata Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat. 

Berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Futsal(Lelaki dan Wanita) MAKSAK Sarawak 2019 antara Bahagian di Stadium Muhibbah, di sini, beliau percaya penganjuran sukan seperti itu,dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim di kalangan kakitangan agensi kerajaan.

Apa yang penting, katanya,  kejayaan menganjurkan aktiviti sukan adalah satu usaha untuk mewujudkan semangat setiakawan,semangat muafakat dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu tujuan untuk dikongsi bersama-sama.

“Kalah dan menang adat permainan kerana apa yang penting ialah kita dapat memupuk semangat perpaduan dan pada masa sama membentuk semangat kerjasama tinggi dalam satu pasukan, ujarnya lagi. 

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari, bermula 26 hingga 27 Oktober, menyaksikan Bahagian Bintulu dan Samarahan, masing-masing muncul juara kategori Lelaki dan Wanita manakala Bahagian Mukah menguasai  naib johan bagi kedua-dua kategori dengan tempat ketiga, masing-masing dimenangi Bahagian Kuching dan Bintulu. 

Sebanyak 12  pasukan lelaki dan sepuluh  pasukan wanita mengambil bahagian dalam Pertandingan Futsal (Lelaki & Wanita) MAKSAK Sarawak Antara Bahagian 2019 yang berlangsung di Stadium Muhibbah, di sini.

Pegawai Daerah Bintulu, Mohammad Dino Amit dan presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu, Mohd  Zulfadillah Junaidi hadir sama. 

 

Jack merakam gambar bersama  pasukan Samarahan  yang menjuarai kategori Wanita Pertandingan Futsal (Lelaki & Wanita) MAKSAK Sarawak Antara Bahagian 2019.
TAHNIAH.. Jack menyampaikan trofi kepada pasukan Bintulu yang menjuarai kategori Lelaki Pertandingan Futsal (Lelaki & Wanita) MAKSAK Sarawak Antara Bahagian 2019.

Suara Sarawak