ARTIKEL

Sukan lastik uji fokus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DAHULU hanya dianggap sebagai permainan budak kampung yang menggunakan ranting kayu berbentuk “Y” dan tiub tayar basikal, kini sukan lastik terus berkembang serta mempunyai ribuan peminat di seluruh Malaysia.

Dahulu dilakukan di kebun atau tepi sungai untuk memburu burung, kini menjadi acara rasmi lengkap dengan sasaran khas, peraturan dan komuniti tersusun.

Di Semenanjung, pertandingan lastik kini menawarkan hadiah mencecah RM10,000 kepada juara, manakala di Sarawak, sukan ini mula mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan.

Sukan lastik mula digerakkan di Malaysia sekitar awal tahun 2020 melalui komuniti seperti Slingshot Malaysia – Kelab Peminat Lastik yang kini mempunyai hampir 50,000 pengikut di laman Facebook.

Tidak lama kemudian, Sarawak turut membentuk komuniti tersendiri termasuk Sarawak Slingshot Community yang aktif mengadakan sesi latihan dan pertandingan kecil.

Bagi pelastik tempatan, sukan ini bukan sahaja menguji fokus, tetapi menjadi medium perhubungan sosial dan rekreasi yang mampu mengurangkan tekanan harian.

Antara generasi baharu yang muncul daripada gelombang kebangkitan itu ialah Mohd Fadhli, 33, anggota Polis Bantuan di Sarawak Energy yang kini mula mencipta nama dalam arena ini.

“Segala-galanya bermula tanpa perancangan. Saya mula berminat dengan sukan lastik apabila seorang jiran yang baru berpindah ke kawasan saya selalu bermain lastik di rumahnya.

“Dia kemudian mengajak semua penduduk lorong mencuba dan tidak lama selepas itu menghadiahkan lastik kepada kami semua.

Dari situ, kami menubuhkan kelab lastik kejiranan kami sendiri,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ketika itu, Fadhli hanya bermain untuk mengisi masa lapang selama hampir setahun.

Namun, segala-galanya berubah pada awal tahun ini apabila rakan-rakannya mengajaknya menyertai satu pertandingan yang sekadar mencukupkan peserta.

“Ketika bertanding, barulah saya sedar betapa luas dunia sukan lastik.

Saya lihat pelbagai jenis lastik, komuniti besar, pelastik-pelastik hebat dan teknik yang betul.

Dari situlah minat saya menjadi lebih mendalam.

“Saya hanya menggunakan lastik plastik murah bernilai RM20… kurang selesa dan susah untuk kawal.

Mencari taper (getah potong khas) pun sukar. Masa itu, saya tidak tahu cara potongan yang betul, sedangkan itu sangat penting untuk ketepatan.

“Selain itu, saya belajar mengekalkan anchor point kedudukan tangan di bawah mata atau di tulang pipi ketika menarik getah. Kalau tidak konsisten, peluru akan tersasar jauh.

Tetapi lama-kelamaan, apabila sudah biasa, kita tahu menyasarkan dengan betul,” jelasnya. Namun bagi Fadhli, keindahan sukan ini terletak pada fleksibilitinya.

Ia boleh dimainkan di mana-mana sahaja, dengan apa-apa sahaja sebagai sasaran, sama ada tin kosong, botol plastik atau sekeping kertas.

Latihannya tidak terbatas, hanya menuntut disiplin dan fokus. Kini, Fadhli berlatih sekurangkurangnya sejam setiap hari.

Selain latihan sendiri, dia juga akan berlatih bersama-sama ahli kelab dua kali seminggu.

Kenangan yang paling membanggakan Fadhli ialah ketika menyertai pertandingan di Masjid Al-Abyad, Taman Matang Jaya. Dia memperoleh 14 daripada 15 mata pada pusingan separuh akhir.

“Walaupun tidak naik podium, itu tetap pencapaian besar bagi saya. Saya berjaya pecahkan rekod peribadi dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik daripada 137 peserta kategori novis.

“Namun, saya mengakui perbezaan besar antara latihan dengan pertandingan.

Dalam latihan, kita fokus sepenuhnya.

Tetapi apabila bertanding, ada tekanan, ramai penonton dan pelastik hebat di kiri dan kanan

. “Kadang-kadang tangan bergegar sedikit pun cukup untuk membuat peluru tersasar.

“Perjalanan saya masih panjang. Kebanyakan juara sudah bermain selama lima hingga 10 tahun dan masuk berpuluh-puluh pertandingan.

Saya baru setahun jagung… masih banyak perlu dipelajari,” katanya.

Fadhli berharap sukan lastik terus berkembang dan mengimpikan lebih banyak pertandingan dianjurkan oleh agensi belia dan sukan di negeri ini. 

“Kalau hadiah menarik seperti di Semenanjung, pasti ramai anak muda akan turut serta.

Sukan ini murah, menyeronokkan dan boleh menjadi platform untuk memperkukuh komuniti.

“Yang penting, komuniti lastik Sarawak terus aktif dan kekal hidup. Kepada yang belum pernah mencuba, cubalah.

Sebab apabila sudah merasai ketepatan sasaran lastik itu, pasti susah untuk berhenti.

Bagi Fadhli, impian jangka panjangnya untuk melihat sukan lastik dipertandingkan dalam Sukan Borneo, sebagaimana sukan sumpit yang dipertandingkan tahun ini.

Seperti congkak, gasing dan galah panjang, lastik juga antara permainan warisan rakyat yang sarat nilai budaya. Ia menjadi jambatan generasi yang menyatukan anak muda dan warga emas melalui aktiviti keluarga hujung minggu yang mengeratkan silaturahim.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU