ATLET muda kelahiran Sarawak, Joey Tan Xing Lei, membantu skuad memanah berpasukan recurve wanita Malaysia meraih pingat perak di Sukan SEA 2025 pada Rabu.
Atlet berusia 18 tahun dari Miri itu mempamerkan ketenangan dan konsistensi luar jangka, sekali gus membuktikan bakat muda Sarawak mampu berdiri seiring atlet elit negara di pentas antarabangsa.
Malaysia bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 5-3 kepada Indonesia dalam aksi final.
Joey mengakui tidak pernah menyangka mampu melangkah sejauh ini pada Sukan SEA pertamanya, apatah lagi ia juga merupakan tahun pertama beliau dalam skuad kebangsaan.
“Saya memang tidak menjangka dapat ke final, tetapi sasaran saya sejak awal adalah untuk membawa pulang pingat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Memanah Persatuan Sukan Thailand.
Menurutnya, kejayaan tersebut hasil kerja keras berterusan, disiplin latihan serta sokongan padu barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sepanjang kempen.
Sementara itu, skuad recurve lelaki negara yang bangkit menewaskan Thailand 5-3 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, sekali gus menghadiahkan pingat gangsa kepada kem negara.
Barisan lelaki yang dibarisi Quik Chern Xin, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepli, Muhammad Syafiq Busthamin dan Muhammad Haiqal Danish Syamsul Afandi mempamerkan disiplin tinggi serta ketepatan konsisten meskipun beraksi di bawah tekanan saingan tuan rumah.
Kemenangan itu bukan sahaja menebus kekecewaan gagal ke final, malah menjadi indikator jelas keupayaan skuad negara untuk bangkit dalam perlawanan berintensiti tinggi.



