KUCHING: Sarawak tidak ketinggalan menyertai sukan Silambam dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang sinonim dengan masyarakat India berikutan sejarahnya yang merupakan seni mempertahankan diri tradisional dari Tamil Nadu, India.
Tuan rumah menampilkan keunikan tersendiri apabila rata-rata atlet Silambam SUKMA XXI dibarisi atlet bukan dari masyarakat India namun daripada berbilang kaum dari Melayu, Iban dan juga Melanau.
Namun, ia bukanlah alasan untuk kem Silambam Sarawak tidak memberikan persembahan serta aksi terbaik mereka pada temasya itu.
Lebih mengejutkan, tuan rumah berjaya memperoleh dua pingat perak dan satu pingat gangsa masing-masing dalam kategori poruthal individu lelaki bawah 55kg dan poruthal individu wanita atas 70kg manakala gangsa diperoleh menerusi kategori individu wanita (60kg-70kg).
Pemenang pingat gangsa, Nur Aleesya Zahierah Sali, 15, mengungkapkan beliau teruja setelah terpilih mewakili Sarawak dalam sukan tersebut memandangkan ia sebagai pengalaman baharu yang berharga buat dirinya.
Selain sebagai sukan baharu, Aleesya memberitahu Silambam banyak mendedahkan tentang ilmu baharu berkaitan masyarakat India serta menjadi platform baharu untuknya mempelajari bahasa Tamil.
“Banyak juga maksud (bahasa Tamil) yang sudah saya pelajari dari kawan-kawan yang berbangsa India yang sama-sama terlibat dalam sukan Silambam.
“Antaranya, ‘Macha’ membawa maksud kawan rapat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Kata Aleesya, pembabitan majoriti masyarakat India dalam Silambam kali ini sebaliknya tidak menggugat beliau untuk memberikan persembahan terbaik menjelang kejohanan.
Malah ianya bagus sebagai pengalaman untuk lebih mendalami sukan kegemarannya sejak di bangku sekolah menengah.
“Saya teruja untuk mewakili Sarawak dalam sukan ini. Di sini saya dapat ramai kawan baharu, terutama wakil-wakil dari semenanjung yang sememangnya lebih berpengalaman tentang sukan ini,” tambahnya.
Mengenai perjalanan kariernya dalam sukan itu, beliau menegaskan akan berusaha sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik agar tetap terpilih menjelang temasya sama pada masa akan datang.
Bercita-cita sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, Aleesya dalam pada itu tidak menolak sebarang kemungkinan untuk menyebarkan lebih meluas tentang sukan Silambam dan juga bahasa Tamil yang dipelajari kepada orang sekeliling.



