KUCHING: Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim memberitahu, senarai 12 atlet yang akan mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 sudah dikenal pasti.
Himpunan atlet terbabit yang merangkumi lapan lelaki berbanding empat wanita.
“Kita sudah memuktamadkan senarai 12 atlet untuk berentap di Sukma Selangor kelak. Kesemua mereka ini, gabungan muka lama dan baharu,” ujar Jumaat kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Jumaat, dua daripada mereka pernah beraksi di Sukma Sarawak 2024 iaitu Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid (71kg) yang merupakan penyumbang pingat perak kategori (71kg lelaki).
Selain itu, Dayangku Hana Humaira Awangku Zallaluddin (48kg) yang sekadar melepasi peringkat suku akhir temasya lepas.
Sepuluh yang lain ialah Muhammad Hakim Abdullah (48kg), Muhammad Syarul Fareez Jafar (51kg), Razie Rafizzie Razali (54kg), Mohamad Fitri Haqiem Abdullah Mohamad Nasir (57kg), Muhammad Nur Aiman Kamaruddin (60kg), Mohamad Fitri Mohammad (63.5kg), Malvince Chris Eddie Kuwing (67kg), Emylia Lynn Ghazali Zulfikar (45kg), Andieva Scholastica Tan (54kg), dan Hani Anissa Ismail (57kg).
Jumaat yakin barisan atlet terpilih menggalas cabaran pada kejohanan akan datang mampu mencipta kejutan.



