SELANGOR: Skuad polo air wanita Sarawak meneruskan momentum cemerlang apabila berjaya meraih kemenangan kedua peringkat kumpulan selepas membelasah Wilayah Persekutuan (WIPERS) dengan jaringan (19-6) di Pusat Akuatik Selangor sebentar tadi.
Meskipun ketinggalan pada babak pertama, anak-anak Lau Kum Weng bangkit pada tiga babak berikutnya.
Mengungguli babak kedua dengan (8-4), sebelum terus menidakkan kebangkitan lawan selepas itu untuk menjarakkan defisit jaringan (14-6) pada babak ketiga.
Sebelum menutup pentas saingan dengan bergaya (19-6) pada babak keempat.
“Tahniah dan syabas kepada pemain kerana berjaya memperoleh kemenangan kedua.
“Pemain melaksana tugas dengan begitu baik sepanjang saingan,” ujar Lau ketika ditemui selesai perlawanan.
Beliau mengharap pemain dapat mengekal momentum cemerlang tersebut untuk perlawanan selepas ini.
Tegas Lau, skuad kendaliannya itu akan menentang tuan rumah esok (Jumaat) dan menyifatkan ia perlawanan cukup sengit.
Turut sama menyaksikan perlawanan itu tadi ialah Ketua Kontinjen, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili.






