KUCHING: Sarawak memanjangkan jemputan rasmi kepada pimpinan tertinggi semua negeri yang bakal menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI 2024.
Delegasi yang diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, setakat ini sudah menghantar sendiri jemputan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassurudin Daud serta wakil Kerajaan Pahang.

Menurut Razi, jemputan tersebut dihantar kepada pimpinan tertinggi masing-masing, iaitu Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Delegasi Sarawak menghantar jemputan rasmi secara serentak kepada semua negeri yang bakal menyertai SUKMA dan rombongan kita terbahagi kepada tiga, iaitu di zon selatan, tengah serta utara.
“Bermula dari Terengganu, Kelantan, Pahang, seterusnya esok ke Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pahang, hari ini.
Menurutnya, setakat ini persiapan dari sudut fasiliti dan sambutan kepada kontinjen berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.
“Jemputan ini antara lain adalah untuk pimpinan tertinggi memeriahkan majlis perasmian yang bakal diadakan pada 17 Ogos depan, diikuti majlis makan malam pada 21 Ogos dan penutupan pada 24 Ogos.
“Sementara itu, Para SUKMA bakal berlangsung dari 20 hingga 28 September dengan perasmian pada 22 September depan,” jelasnya.
Lawatan delegasi Sarawak, yang turut disertai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, bermula di pejabat Menteri Besar Kelantan pada Isnin, diikuti Terengganu pada Selasa dan seterusnya di Pahang, hari ini.
Untuk rekod, penganjuran SUKMA di Sarawak pada tahun ini adalah yang terbesar dalam sejarah kerana melibatkan sebanyak 37 jenis sukan dengan 484 acara dipertandingkan, manakala Para SUKMA merangkumi 10 sukan dengan 361 acara.
Kejohanan ini bakal disertai 15 pasukan, iaitu dari 13 negeri seluruh Malaysia, Wilayah Persekutuan dan negara Brunei.
Dianggarkan seramai 15,000 atlet serta pegawai bakal berkampung di sembilan bahagian di Sarawak sepanjang tempoh tersebut.
Sebanyak 25 jenis sukan bakal dipertandingkan di Bahagian Kuching, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6).
Perkampungan sukan akan disediakan di lima bahagian utama, iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi Kuching, Samarahan dan Serian, Desa Sanyan (Sibu), UiTM Mukah (Mukah), Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu, dan Institut Kemahiran Belia Negara (Miri).





