ARTIKEL

SUKMA XXI 2024: Atlet tinju Sarawak digesa tingkatkan prestasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Skuad tinju Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak digesa untuk mempertingkatkan prestasi mereka sebagai persiapan bagi menghadapi kempen yang akan bermula pada Ogos nanti.

Ia ditegaskan oleh Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo, ekoran pencapaian kurang meyakinkan skuad negeri pada Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan di UPM Serdang dari 26 hingga 30 Jun lepas.

Pada kejohanan tersebut, Sarawak menduduki tangga kedua di belakang juara, Pulau Pinang, dengan menggondol dua pingat emas, tiga perak dan lapan gangsa.

“Atlet perlu meningkatkan lagi prestasi mereka kerana Sarawak mensasarkan untuk muncul juara keseluruhan dalam acara tinju pada SUKMA kali ini.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih dan atlet untuk memikirkan perancangan seterusnya dalam mempersiapkan atlet-atlet kita,” katanya ketika ditemu ramah baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad tinju Sarawak, Muhammad Helman Morni, berkata seramai 12 petinju SUKMA sedang berlatih di Batam, Indonesia di mana mereka diiringi jurulatih Filipina, Wilbur Andogan.

Katanya, tiga lagi petinju, Frederick, Bradley dan Wafie, akan membuat persiapan terakhir mereka di Pusat Tinju Sarawak di Kuching bersama jurulatih Zurkarnain, jurulatih Filipina, Reynaldo Inocian, dan beliau sendiri.

“Ini merupakan persiapan terakhir kita sebelum menghadapi SUKMA nanti,” katanya.

Pada kejohanan tersebut, pingat emas skuad Sarawak disumbangkan oleh petinju wanita, Clavia Charlene Sudang Kenedy (52kg) dan Hamiesha Hamdan (57kg).

Perak pula dirangkul Patricia Jaquilina Bruce (48kg), Gideon Riquelme Jonathan (75kg) dan Clarkson Evans Tom Frankie (48kg).

Manakala gangsa dimenangi Khairil Hazami Sulam (54kg), Frederick Xian Bartholomew Albern (57kg), Lam Wee Liang (60kg), Wan Dhia Danish Wan Muhammad Reza (63.5kg), Syahrul Wafie Khan Amran Khan (80kg), Bradley Jilan Kennedy (86kg), Aidith Aqida Abdullah (92kg) dan Marcos Robert (71kg).

Acara sukan tinju pada SUKMA kali ini akan berlangsung di Sri Aman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU