KUCHING: Persiapan venue untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang dijadual berlangsung 17-24 Ogos depan berjalan lancar walaupun menghadapi beberapa cabaran.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, dengan kerjasama ditunjukkan pegawai, sekretariat dan kontraktor pada masa ini, beliau yakin venue tersebut dapat disiapkan mengikut jadual.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen Sukma Sarawak memberitahu, faktor cuaca kebelakangan ini menjadi cabaran menjalankan kerja naik taraf venue terbabit, lebih-lebih lagi venue luar.
“Yang saya khuatiri ialah kawasan di luar, kerana faktor cuaca yang tidak memihak.
“Tadi dapat kita lihat cuaca hujan semasa lawatan ke tempat memanah dan ini bermakna mereka tidak dapat menjalankan kerja, begitu juga di tempat lain,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai mengadakan lawatan di beberapa venue SUKMA sekitar Kuching.
Dalam lawatan beliau kali ini, Datuk Gerald meninjau sendiri perkembangan enam lokasi venue Sukma XXI iaitu Arena Boling Padang Sarawak, Lapang Sasar Memanah, Stadium Hoki Negeri Sarawak, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 3, Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Hikmah Exchange.
Beliau dalam pada itu memandang serius cabaran yang terpaksa dihadapi ini dan berharap ia dapat ditangani segera agar persiapan atlet tidak terganggu sekali gus kehilangan kelebihan bermain di gelanggang sendiri.
“Kita tidak mahu perkara ini menjadi halangan kepada atlet kita untuk berlatih di tempat sebenar temasya yang kita sediakan,” jelas beliau lagi.
Mengiringi beliau ialah Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Unit Persediaan SUKMA Abdul Muktalib Mohamad.

