KUCHING: Keinginan untuk menjadi seorang pemain bola sepak sememangnya ditentang oleh keluarga.
Namun, atas dasar minat meletakkan gadis campuran Cina-Bidayuh, Adilie Sim Lee Mei, 20, sebagai individu penting dalam radar pengemudi skuad bola sepak wanita Sarawak (Suffian Ibrahim) bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
“Terima kasih kepada barisan jurulatih kerana memberi peluang kepada saya untuk mewakili Sarawak pada Sukma XXI 2024.
“Saya sendiri hadir mengikuti sesi pemilihan sebelum ini, ia ditentang oleh keluarga tetapi atas dasar minat saya bertekad mahu meneruskan keinginan untuk menjadi pemain bola sepak seperti hari ini,” ujar Lee Mei kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, beliau sememangnya tidak berpengalaman luas dalam sukan bola sepak.
Apatah lagi, ini merupakan penampilan pertama dalam menyelusuri perlawanan berstatus kompetitif yang turut melibatkan negeri.
“Saya akan berusaha memberikan yang terbaik apabila diberi peluang beraksi kelak,” tambah Lee Mei sambil mengakui tekad beliau dan rakan-rakan yang lain dalam memastikan skuad kali ini berada dalam kelompok tiga terbaik.
Dengan kata lain, mahu memastikan skuad bola sepak wanita Sukma Sarawak mampu beroleh pingat.
Menurut Lee Mei, posisi asalnya di pertahanan tengah, akan tetapi boleh beraksi di dua posisi pertahanan lain iaitu kiri dan kanan.
“Bagi saya terpulang kepada percaturan ketua jurulatih, saya boleh bermain di tiga posisi pertahanan tersebut,” ujar Lee Mei.



