KUCHING: Sorakan ‘agi idup, agi ngelaban’ bergema di Stadium Perpaduan setelah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendahului laungan sebanyak tiga kali.
Ia susulan kejayaan Sarawak dalam mengekalkan kedudukan teratas dalam carta Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak ke-21, sekali gus muncul sebagai juara temasya berkenaan walaupun dikejar rapat oleh Wilayah Persekutuan.

Dengan mengumpul sebanyak 199 pingat, Sarawak berjaya menewaskan saingan dari negeri lain dengan pungutan 76 emas, 54 perak dan 69 gangsa.
Sarawak diberi tentangan hebat oleh Wilayah Persekutuan yang berada di kedudukan kedua dengan pungutan sebanyak 213 pingat (75 emas, 66 perak dan 72 gangsa)
Selangor menyusul di kedudukan ketiga dengan meraih 55 emas, 64 perak dan 58 gangsa – mengumpul sebanyak 177 pingat pada temasya berkenaan.
Dalam pada itu, majlis penutupan SUKMA ke-21 berlangsung dengan meriah, membabitkan persembahan daripada 230 pelajar sekolah rendah dan persembahan kebudayaan Selangor sebagai pembuka acara.
Diikuti perarakan masuk bendera Malaysia, disusuli kontinjen dari setiap negeri yang terlibat sebelum upacara penurunan kejohanan bendera dan pemadaman api obor dilakukan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan bendera SUKMA ke-22 bagi 2026 oleh Abang Johari kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selaku penganjur temasya seterusnya.
Sementara itu, pelbagai persembahan oleh artis terkemuka turut menghangatkan majlis penutupan menampilkan Bob Yusof, kumpulan De’Fam dan ratu rock Malaysia, Ella.
Pertunjukkan bunga api yang diadakan pada malam tersebut juga menarik perhatian, sekali gus menandakan majlis penutupan temasya sukan berkenaan berakhir dengan lancar.




