KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Sukma Sarawak, Suffian Ibrahim berharap gabungan kudrat pemain tiga negeri (Sarawak, Sabah, Selangor) yang berada dalam kem kendaliannya ketika ini dapat membentuk kombinasi hebat.
Sekali gus, boleh dipertaruh pada setiap perlawanan yang bakal diharungi sepanjang berlangsung temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
“Kita sudah memuktamadkan senarai 23 pemain kesemuanya. Apa yang pasti, enam daripadanya pemain import luar Sarawak iaitu lima dari Sabah dan seorang dari Selangor,” ujar Suffian kepada Arena Suara Sarawak.
Sambil mengakui, barisan bala tenteranya
sudah bersedia untuk mengharungi gelora sebenar temasya dwitahunan itu.
Menurut Suffian, segala persiapan berjalan lancar dan memasuki fasa akhir ketika ini.
“Perkara yang diberi fokus dalam latihan pemain ketika ini ialah memperkemas dari segi tektikal,” tambah Suffian.
Beliau turut berpuas hati dengan perkembangan dari semasa ke semasa terhadap prestasi anak buahnya.
“Beberapa perlawanan dilalui pemain sebelum ini, di Sabah, Semenanjung Malaysia dan juga negara jiran, Thailand.
“Keputusannya agak memuaskan apabila beberapa perlawanan turut memihak kepada mereka,” kata Suffian yang turut mengakui keputusan tersebut akan menjadi penanda aras untuk menghadapi perlawanan sebenar nanti.
Tuan rumah (Sarawak) diundi berada dalam Kumpulan A bersama Sabah dan Pahang.
Sambil itu, tiga lagi pasukan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan berada dalam Kumpulan B.



