SELANGOR: Atlet memanah Sarawak, Joey Tan Xing Lei, mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas acara individu recurve wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Kejayaan itu menyaksikan Joey melengkapkan hatrik emas dalam acara berkenaan selepas turut muncul juara pada edisi 2022 dan 2024.
Pada pusingan kelayakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Kajang, Joey muncul pendahulu selepas mengumpul 643 mata menerusi dua pusingan 70 meter dengan catatan 329 dan 314 mata.
Jumlah itu menyamai pungutan wakil Selangor, Nur Jie An Hairesya Zainal Habsah, namun Joey menduduki tempat pertama.
Pada SUKMA 2022, Joey meraih tiga pingat emas menerusi acara individu recurve wanita 70 meter, berpasukan recurve wanita dan berpasukan campuran recurve.
Pada edisi 2024 pula, beliau mempertahankan emas individu recurve wanita selepas mengumpul 645 mata, selain mencipta rekod SUKMA dengan catatan 325 mata dalam pusingan kelayakan jarak 70 meter.
Joey turut mencipta satu lagi rekod pada edisi sama apabila mengumpul 1,294 mata bersama Liew Yu Jie dalam pusingan kelayakan acara berpasukan campuran recurve.
Kejayaan di Selangor sekali gus mengukuhkan reputasi Joey sebagai antara sandaran utama Sarawak dalam sukan memanah.



