SELANGOR: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah teruja melihat kejutan yang berlaku dalam beberapa acara sukan air yang menjurus kecemerlangan pencapaian atlet Sarawak.
Ia susulan prestasi hebat yang dipamerkan atlet menerusi acara akuatik yang menjadi antara penyumbang utama pingat emas buat Kontinjen Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan atlet Bumi Kenyalang dalam acara terbabit.
Beliau memberitahu, pencapaian yang diraih dalam acara akuatik termasuk polo air dan terjun membuktikan prestasi atlet Sarawak kini berada pada tahap yang amat membanggakan.
“Saya berasa sangat bangga melihat beberapa acara sukan yang sebelum ini kita tidak jangka mampu meraih pingat tetapi berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dan mencapai sasaran seperti polo air yang menyumbang dua pingat emas.
“Dalam acara terjun, daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan, Sarawak berjaya meraih lapan daripadanya dan itu merupakan satu pencapaian yang sangat menakjubkan,” katanya ketika berucap ringkas pada Majlis Makan Malam Kontinjen Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di Selangor malam tadi.
Hadir sama Ketua Kontinjen Sarawak merangkap Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Beliau turut memuji pencapaian skuad berbasikal yang mencipta sejarah apabila meraih dua pingat emas.
Abdul Karim turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet Sarawak atas kejayaan yang diraih, sambil menyifatkan pencapaian kontinjen setakat ini sebagai sesuatu yang membanggakan.
Beliau memberitahu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengikuti perkembangan prestasi kontinjen Sarawak dan gembira dengan pencapaian yang diraih.



